Kunjungan Hormat & Diskusi Kerjasama Strategik IESAD Bersama CEO Baharu Selangor Research Institute (SRI)
Diterbitkan
12 Nov 2026
Dari kiri ke kanan: Prof. Madya Dr. Hamdan bin Mohd Salleh (Pengarah IESAD / Timbalan Naib Canselor UNISEL), Sdr. Ammar bin Gazali (Ketua Pegawai Eksekutif, Selangor Research Institute - SRI), dan Dr. Mohamed Hadi bin Abd Hamid (Penasihat Undang-Undang UNISEL / Felo Penyelidik IESAD).
SHAH ALAM — Institut Kajian Pilihanraya & Pemajuan Demokrasi (IESAD), Universiti Selangor (UNISEL) telah mengadakan sesi pertemuan dan kunjungan hormat bersama Sdr. Ammar bin Gazali sempena pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Selangor Research Institute (SRI).
Pertemuan ini dihadiri oleh Pengarah IESAD merangkap Timbalan Naib Canselor UNISEL, Prof. Madya Dr. Hamdan bin Mohd Salleh, serta Penasihat Undang-Undang UNISEL merangkap Felo Penyelidik IESAD, Dr. Mohamed Hadi bin Abd Hamid.
Sesi perbincangan tertumpu kepada penerokaan ruang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi, khususnya dalam merangka program wacana pemikiran, penyelidikan dasar awam dan pilihan raya, serta penyediaan perkhidmatan perundingan (consultancy) berasaskan data empirikal demi pembangunan sosioekonomi negeri Selangor.
Selangor Research Institute (SRI), atau turut dikenali sebagai Pejabat Penyelidikan Selangor, merupakan badan pemikir (think tank) milik penuh kerajaan negeri Selangor di bawah naungan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor. Ditubuhkan pada tahun 2022 dan beribu pejabat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, SRI memainkan peranan penting dalam menyokong agenda perancangan dasar dan penyelidikan strategik negeri.
Melalui pertemuan ini, IESAD UNISEL dan SRI berhasrat untuk memperkukuh sinergi antara kepakaran akademik universiti dan jentera penyelidikan negeri bagi memacu penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada pemajuan demokrasi serta kesejahteraan rakyat.
Penafian: Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah hak milik pengarang sepenuhnya dan tidak semestinya mencerminkan dasar atau pendirian rasmi IESAD.